Search

Mayat lelaki ditemui terapung di Jeti Pangkalan Pasar Umum Bandar Sandakan

January 18, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Mayat lelaki ditemui terapung di laut di Jeti Pangkalan Pasar Umum Bandar Sandakan, di sini, malam tadi.

Mayat tanpa baju dan berseluar jeans paras lutut itu ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi pihak polis, kira-kira jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, susulan laporan itu sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati mayat lelaki terbabit dalam keadaan terapung di permukaan air di tepi jeti tempatan pemunggahan ikan tanpa baju dan berseluar jeans paras lutut.

“Identiti mangsa sudah dikenal pasti iaitu warga asing berusia 35 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar di Jeti Pasar Ikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut berikutan hasil siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan kianat terbabit dalam kes ini.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk bedah siasat.

“Proses bedah siasat akan dijalankan pada hari ini,” katanya. – Info X