KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat malam tadi, apabila mencatatkan seramai 1,054 orang yang terjejas di dua daerah, berbanding 845 mangsa dilaporkan petang tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menerusi kenyataan media berkata, 1,054 orang daripada 355 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 11 malam tadi.
Katanya, Pitas kekal mencatat angka tertinggi iaitu 993 mangsa daripada 338 keluarga dan kini ditempatkan di tujuh PPS.
“Di Paitan pula, mencatatkan bilangan mangsa banjir sama dengan statistik petang tadi, seramai 61 mangsa daripada 17 keluarga.
“Semua penduduk yang terjejas di daerah berkenaan ditempatkan di tiga PPS,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 20 kawasan terbabit banjir di Pitas manakala Paitan membabitkan tiga kampung secara keseluruhannya.
Sementara itu, semua PPS di Kota Marudu sudah ditutup pada jam 1.20 petang tadi. – Info X