Search

Separuh akhir Piala Malaysia: Sabah diikat Sri Pahang di Likas

January 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC gagal mendapatkan bekalan yang selesa ke perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia selepas diikat 1-1 oleh Sri Pahang FC pada perlawanan pertama di Stadium Likas, malam ini.

Walaupun sudah mendahului 66 minit perlawanan, kelalaian pemain mengawal serangan lawan membawa padah dan akhirnya memberi kelebihan kepada Sri Pahang pada separuh masa kedua.

Sang Badak berjaya mendahului jaringan melalui Stuart John Wilkin pada minit kelapan selepas cubaan mudahnya gagal dihalang penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Bertitik tola daripada jaringan awal yang meletakkan tuan rumah di hadapan dengan kedudukan 1-0, pemain Sri Pahang mula mengatur serangan balas hingga berjaya mencipta beberapa cubaan berbahaya selepas itu, namun gagal menepati sasaran, selain kecekapan penjaga gol Sabah, Damien Lim membaca pergerakan bola.

Hanya sesekali pemain tuan rumah berjaya melakukan serangan balas, namun Sang Badak dilihat berdepan masalah mengekalkan penguasaan bola menyebabkan tidak banyak percubaan berbahaya dapat dilakukan pemain Sabah.

Pada separuh masa kedua, corak permainan kelihatan berubah apabila pemain Sang Badak dilihat lebih agresif melakukan serangan bermula seawal minit ke-46 dengan misi untuk menambah jaringan.

Sabah memerlukan kelebihan jaringan untuk dibawa ke Pahang pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia selepas ini bagi mencerahkan peluangnya memenangi aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, tuan rumah kurang bernasib baik apabila akhirnya gawang yang dipertahan habis-habisan dibolosi juga akhirnya pada minit ke-66 hasil rembatan silang kapten Sri Pahang, Kpah Sean Sherman.

Kejayaan menyamakan kedudukan 1-1 itu memberi keyakinan kepada Sri Pahang untuk mengekang tuan rumah daripada membawa kelebihan bekalan pada perlawanan kedua nanti.

Pemain Sabah juga gagal memanfaatkan kelebihan menentang Sri Pahang yang terpaksa bermain 10 orang bermula pada minit ke-70 apabila penyerangnya, Manuel Federico Hidalgo dilayangkan kad merah selepas memijak kaki Darren Lok. – Info X