Search

UPKO nilai semula pencapaian, perkasa persiapan PRN17

January 19, 2025

Info X Reporters

PAPAR: UPKO menilai semula pencapaian parti itu selepas dua tahun pilihan raya umum (PRU) menerusi pemukiman parti yang diadakan di sini.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata pemukiman itu juga bagi memperkasa persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Saya telah berkongsi wawasan dan pendekatan kepimpinan sebagai presiden dengan mengingatkan tujuan kepimpinan haruslah berdasarkan kepada tujuan dan matlamat UPKO ditubuhkan.

“Selepas dua tahun sejak PRU lalu, dan selepas menjadi sebahagian daripada Kerajaan MADANI, kita banyak melaksanakan perkhidmatan kepada rakyat terutama berkaitan pendidikan dan keusahawanan serta menjayakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Selepas dua tahun, kita menilai keberkesanan perkhidmatan kita ini dan seterusnya persiapan menghadapi PRN Sabah tahun ini.

“Pemukiman Kepimpinan ini telah mengilhamkan banyak pandangan yang akan menjadi panduan kepada saya dan Majlis Tertinggi membuat keputusan dasar parti,” katanya.

Ewon menyatakan demikian pada penutupan Pemukiman Kepimpinan UPKO, di sini, hari ini.

Pemukiman kepimpinan UPKO di Papar.

Turut hadir ialah dua bekas Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Seri Madius Tangau serta bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Wilfred Bumburing.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan sepanjang pemukiman itu, selain empat bengkel turut diadakan.

“Kita telah merancang banyak program di lapangan untuk memastikan momentum perkhidmatan kita terus diperkasakan.

“Mudah-mudahan UPKO akan memenangi lebih banyak kerusi pada PRN nanti melalui sokongan dan penerimaan rakyat kepada hasil perkhidmatan dan perjuangan kita dalam kerajaan,” katanya. – Info X