KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat hartanah dari Sarawak bagi membangunkan tanah seluas kira-kira enam hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 billion.
Tanah bersebelahan Fakulti Perubatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) milik agensi Islam negeri itu bakal dibangunkan dengan projek perumahan pelajar dan kakitangan UMS yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden.
Menerusi satu kenyataan, MUIS mengumumkan pelaksanaan projek itu dilakukan menerusi usahasama dengan Zecon Berhad, sebuah syarikat hartanah dan pembinaan yang terbabit dalam pelbagai projek besar di Sarawak dan Semenanjung.
Katanya, projek ini pembangunan tanah MUIS itu bakal menjadi projek perintis yang menawarkan konsep pembangunan serba moden dan komprehensif yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa.
“Fasa Pertama akan dimulakan dengan pembangunan penginapan bagi pelajar dan kakitangan yang berfokuskan kepada keselesaan dan praktikal, disusuli fasa Kedua bagi penyediaan kemudahan berteraskan komuniti termasuk pembangunan masjid, tadika dan pusat asuhan kanak- kanak.
“Fasa Ketiga pula dirancang bagi pembinaan hab komersial yang membabitkan lot kedai, perkhidmatan apartment, perpustakaan, gimnasium, kafeteria dan perkhidmatan harian yang lain,” katanya.
Usahasama MUIS dan Zecon bagi projek hartanah itu dimeterai pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif selaku EXCO Agama negeri di Pusat Konvensyen Antaravangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani Pengerusi MUIS, Datuk Yahya Hussin dan Setiausaha yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali, manakala Zecon diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Pengerusi Zecon Engineering Sabah Sdn Bhd, Datuk Abdul Kadir Rosline.
MUIS dalam kenyataannya, berkata pembangunan projek yang dirancang itu adalah berteraskan kecemerlangan akademik, perkembangan peribadi dan hubungan komuniti setempat.
Projek itu dijangka bermula pada akhir 2025 yang dijangka dapat menawarkan antara 500 hingga 600 peluang pekerjaan, meliputi jawatan profesional, pentadbiran dan buruh.
Katanya, projek itu membabitkan pembinaan apartment yang mengandungi 1,610 unit yang mampu menampung sehingga 6,732 pelajar tempatan dan antarabangsa serta kakitangan.
“Pemilikan tanah akan terus kekal di bawah MUIS menerusi konsep pembangunan Build, Lease, Maintain and Transfer (BLMT),” katanya.
Sementara itu, Zecon yang berpengalaman luas dalam sektor pembinaan, infrastruktur air, pembangunan hartanah, tenaga boleh guna dan kesihatan setakat ini berjaya menyelesaikan lebih 40 projek utama dengan nilai projek RM4.5 bilion.
Antara pencapaian utama syarikat itu ialah pembinaan kampus baharu Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) bernilai RM750 juta, Projek Lebuhraya Pan Borneo 74-KM fasa 1 (Pakej Kerja 3) bernilai RM1.35 billion dan Projek Jambatan Tun Salahudin Sarawak bernilai RM136 juta di Sarawak.
Selain itu, Zecon turut melaksanakan Projek Skim Bekalan Air Triang Negeri Sembilan (terowong pemindahan air, empangan, dan loji rawatan) bernilai RM241 juta dan Projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (243 katil, tempat letak kereta bertingkat dan hotel 54 bilik) yang bernilai RM606 juta di Cheras, Kuala Lumpur. – Info X