Search

Polis panggil ibu bapa kanak-kanak letak paku, batu atas jalan

January 21, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Ibu bapa kanak-kanak yang meletakkan paku, batu dan kayu di atas jalan raya di Kilometer 20, Jalan Semporna – Tawau, di sini, Ahad lalu sudah dipanggil polis untuk diberi nasihat supaya mengawasi anak mereka.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, siasatan yang dijalankan mendapati objek itu dibuang oleh kanak-kanak berusia 12 tahun yang tinggal berdekatan dengan tujuan untuk suka-suka.

Katanya, kejadian itu disedari oleh pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau, kira-kira jam 7.30 pagi, Ahad lalu.

“Ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang, pengadu terlihat beberapa objek seperti batu, kayu dan paku di atas jalan raya.

“Objek itu dipercayai diletakkan secara sengaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan yang berlaku terhadap pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan media, lewat malam tadi.

Menurutnya, pengadu bersama pemandu bas pelancong yang lain bertindak membuang objek-objek berkenaan bagi mengelak kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang prihatin dan mengambil tindakan segera bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan polis juga memohon bantuan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis di talian 089-782020 atau di Balai Polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 56 saat, memaparkan pengguna jalan raya menemukan beberapa objek seperti paku, batu dan kayu di atas jalan raya. – Info X