Search

Stor penyimpanan cat terbakar, 150 tong LPG musnah

January 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah stor penyimpanan cat dan tong gas petroleum cecair (LPG) di Jalan 1, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, terbakar, petang tadi.

Bomba yang menerima laporan kejadian jam 6.28 malam menggerakkan 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Tuaran ke lokasi bersama tiga jentera.

Ketua BBP Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, kebakaran membabitkan stor penyimpanan cat terbakar 30 peratus.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dalam kebakaran tong gas di stor di KKIP, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

“Turut terbakar 150 tong LPG dan pasukan bomba bertindak membuat pemadaman menggunakan tiga pancutan dengan sumber air dari jentera.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi terkawal 7.21 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Pasukan bomba melakukan pemeriksaan sebaik api berjaya dikawal dalam kebakaran stor di KKIP, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 7.27 malam,” katanya. – Info X