KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada Datin Kalsom Abd Aziz dan keluarga atas pemergian Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Allahyarham Datuk Mohd Hamsan Awang Supain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu meninggal dunia pada malam tadi.
Hajiji menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada negeri, tterutama rakyat di Sungai Sibuga yang diwakilinya.
“Allahyarham adalah seorang rakan lama yang bersama-sama berjuang dalam pentadbiran kerajaan. Beliau adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai.
“Perjuangan dan sokongan beliau bersama kerajaan negeri amat dihargai.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Mohd Hamsan Awang Supain.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang- orang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hamsan, 65 menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.20 malam di Hospital Pakar KPJ, Kota Kinabalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 2020, Mohd Hamsan yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga menewaskan empat calon lain dengan majoriti 1,538 undi. – Info X