LAHAD DATU: Polis memburu seorang lelaki yang menyamun sebuah kedai runcit menggunakan pisau di Simpang Payang, Batu 7, di sini, Sabtu lalu.
Kejadian yang tular di media sosial itu dilaporkan berlaku pada jam 4.35 petang melibatkan kerugian wang tunai sebanyak RM1,220.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga pemilik kedai runcit.
Katanya, hasil siasatan mendapati, suspek yang memakai topi keledar masuk ke kedai berkenaan untuk membeli beberapa barangan.
“Bagaimanapun, ketika penjaga kaunter sedang mengira harga barangan, suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau.
“Suspek meletakkan pisau di leher pekerja wanita terbabit sebelum mengambil wang tunai yang disimpan di laci kaunter kedai runcit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek melarikan diri bersama wang tunai sebanyak RM1,220 menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dan merah.
Sehubungan itu, Dzulbaharin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata.
Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pengawai penyiasat kes, Inspektor Iskandar Kiprawi ditalian 089-881255 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X