Search

Pertubuhan dari Jepun sumbang dana RM1 juta untuk projek makanan gajah

January 21, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Saraya Corporation, sebuah pertubuhan yang mementingkan alam sekitar dari Jepun menyumbang dana RM1 juta bagi melaksanakan Projek Koridor Makanan Gajah Hilir Kinabatangan, di sini.

Dana bagi membiayai projek selama lima tahun itu membabitkan kawasan seluas 33.35 ekar yang dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew di Kampung Bilit, di sini, semalam.

Beliau berkata, projek itu bertujuan untuk menanam rumput napier di sepanjang tebing Sungai Kinabatangan sebagai sumber makanan alternatif kepada gajah, sekali gus mengelak hidupan liar itu masuk ke kawasan penempatan penduduk atau pertanian.

Katanya, kerajaan mengamanahkan Responsible Elephant Conservation Trust (RESPECT) yang dipengerusikan pemulihara hidupan liar, Alexander Yee Kok Tsen bagi mengetuai projek mewujudkan koridor makanan gajah di Kinabatangan yang bermula di Kampung Bilit.

“Kerjasama di antara RESPECT dan Saraya Corporation adalah contoh kuasa kerjasama dalam menangani cabaran kompleks konservasi.

“Visi Saraya Corporation bagi memupuk kelestarian alam sekitar sejajar dengan sasaran Sabah dalam memastikan khazanah alam kita dipelihara untuk generasi akan datang.

“Kerjasama ini menggariskan komitmen Sabah yang tidak goyah untuk mempromosikan pertumbujan ekonomi mapan sambil melindungi keunikan biodiversitinya,” katanya ketika melancarkan projek itu.

Beliau berkata, kerajaan sangat komited untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan projek itu.

Christina turut memuji pembabitan aktif komuniti Kampung Bilit dan kawasan sekitarnya dalam usaha berkenaan.

Jelasnya, seramai tujuh penanam diambil bekerja oleh RESPECT untuk melaksanakan projek itu dan menekankan bahawa usaha konservasi tidak boleh berjaya tanpa penyertaan dan pemilikan komuniti tempatan.

“Dedikasi anda mendorong kita untuk terus bekerja ke arah masa hadapan yang harmoni di mana manusia dan hidupan liar berkembang maju bersama,” katanya.

Beliau berkata, usaha semua pihak itu mampu memastikan Koridor Kehidupan Kinabatangan terus menjadi sanktuari hidupan liar dan sumber kebanggaan rakyat Sabah.

Sementara itu, Christina berkata rasional mewujudkan koridor makanan gajah mengambil kira pergerakan gajah di Kinabatangan yang menyamai koridor panjang.

Katanya, gajah biasanya bergerak di antara Batu Puteh dan Kampung Abai dengan Kampung Bilit berada di tengah-tengah.

Gajah katanya memakan banyak jenis tumbuhan tetapi kegemaran mereka ialah kelapa sawit dan rumput, namun bilangan kawasan ditumbuhi rumput sangat kecil.

Atas sebab itu, katanya inisiatif diambil untuk menanam rumput di kawasan yang tidak ditumbuhi pokok di sepanjang Sungai Kinabatangan. – Info X