TAWAU: Seorang lelaki mengugut mahu menetak seorang wanita kerana membawa bekas isterinya keluar tanpa kebenarannya.
Tindakan lelaki berusia 36 tahun itu membawa padah apabila dia ditahan polis, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa wanita berusia 31 tahun berikutan mangsa menerima panggilan telefon berbaur ancaman daripada suspek, Jumaat lalu.
Katanya, mangsa mendakwa suspek tidak puas hati tanpa sebab selain menyalahkan mangsa kerana membawa bekas isterinya keluar tanpa kebenarannya.
“Dalam panggilan itu, suspek menyatakan niat untuk menetak mangsa dan rakan mangsa. Mangsa yang berasa terancam segera membuat laporan polis di Balai Polis Tawau jam 10.31 malam, pada hari yang sama.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di kawasan gerai makanan Sabindo, jam 4.20 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek yang digunakan ketika kejadian.
“Hasil semakan rekod, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – Info X