Search

Dakwaan skandal rasuah ADUN: Biarkan SPRM jalankan siasatan – Masidi

January 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata SPRM perlu dibiarkan melakukan siasatannya tanpa diganggu mana-mana pihak.

Beliau berkata, sebarang komen mengenai proses siasatan agensi penguatkuasa itu boleh dilihat sebagai satu campur tangan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Masidi menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina AFFIN Bank Berhad. – Foto/Ihsan Jabatan Penerangan

“Saya fikir eloklah kita jangan kacau SPRM dalam proses siasatan. Kita tidak mahu komen kita seolah-olah kita campur tangan dalam siasatan dan kerja mereka.

“Jadi, saya tidak ada komen, biarkan mereka (SPRM) buat kerja mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina AFFIN Bank Berhad, di sini, malam tadi.

Masidi diminta mengulas mengenai kenyataan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, semalam yang mengesahkan seramai 18 ADUN Sabah diambil keterangan berhubung skandal rasuah yang dikaitkan dengan projek mineral di negeri itu.

ADUN Karanaan itu adalah antara yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah itu berdasarkan rakaman video perbualannya yang disebarkan melalui sebuah portal berita, baru-baru ini.

Berikutan penyebaran video itu, Masidi datang sendiri untuk memberi keterangan kepada SPRM dan menjelaskan bahawa tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung dakwaan skandal terbabit. – Info