TUARAN: Tiga lelaki yang hilang selepas bot mereka karam di muara sungai berhampiran pantai Mimpian Jadi di sini, hari ini, ditemukan dalam keadaan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohamad Nor Amit berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 12 kilometer selepas menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 12.35 tengah hari.
“Kejadian membabitkan bot karam di muara sungai dan terdapat tiga orang mangsa termasuk lelaki berusia 44 tahun dilaporkan hilang.
“Mangsa pertama diselamatkan oleh orang awam dan sudah dihantar ke Hospital Tuaran sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa juga ditemui dalam keadaan selamat pada jam 1.35 petang oleh nelayan.
Katanya, mangsa ditemukan pada jarak dua kilometer dari bot dilaporkan karam.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke balai polis oleh pihak polis untuk membuat laporan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya operasi ditamatkan pada jam 2 petang,” katanya. – Info X