Search

Kementerian Pertahanan puas hati prestasi projek RKAT di Kem Lok Kawi

January 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan berpuas hati terhadap pelaksanaan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi, di sini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek yang dimulakan pada Februari 2022 itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos depan.

Katanya, projek bernilai RM188 juta itu menyediakan 513 unit rumah pelbagai kelas untuk keluarga warga pertahanan yang bertugas di sekitar kem berkenaan.

Beliau berkata, projek itu adalah sebahagian daripada fokus Kementerian Pertahanan dalam menjaga kesejahteraan anggota dan pegawai.

“Dalam soal kesejahteraan anggota ini, ia berkait rapat dengan penyediaan rumah untuk anggota dan hari ini kita berada di tapak untuk meninjau satu projek kementerian bagi menyediakan rumah-rumah untuk keluarga Angkatan Tentera.

“Saya dimaklumkan mengenai kemajuan kerja-kerja dan saya berpuas hati dan projek ini boleh siap pada Ogos tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled Nordin meninjau perkembangan Projek RKAT di Kem Lok Kawi.

Mohd Khaled berkata, selaras dengan Fokus Keempat Kementerian Pertahanan Tahun 2025, pihaknya turut memperuntukkan RM2.9 juta untuk penyelenggaraan RKAT dan Blok Penginapan Kem Lok Kawi.

Selain itu katanya, kementerian turut memperuntukkan RM11.3 juta bagi RKAT dan Senggaraan Blok Penginapan 5 Divisyen.

“Secara keseluruhannya, terdapat empat buah blok penginapan di Kem Lok Kawi dan 161 pintu RKAT melibatkan Kem Lok Kawi, Kem Brooke, Kem Paradise, Kem Penampang dan Kem Sri Kinabatangan akan terlibat dalam senggaraan bagi tahun ini,” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan sama, Mohd Khaled turut menyampaikan Sumbangan Kebajikan sebanyak RM500 kepada 20 orang pesakit kronik yang bertugas di 5 Divisyen.

Sumbangan berkenaan adalah antara usaha kementerian bagi meringankan beban warga tentera yang memerlukan khususnya dalam pengurusan kehidupan seharian. – Info X