Search

Program Sentuhan Kasih Rakyat dilaksanakan mulai Februari

January 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meluluskan pelaksanaan program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 yang membabitkan pengagihan bantuan RM300 sebulan kepada golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini yang dijadual bermula bulan depan.

Pelaksanaan program itu yang membabitkan ketua isi rumah (KIR) dan ahli keluarga berusia 18 tahun ke atas diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi program itu, kerajaan negeri akan memberikan bantuan RM300 sebulan yang akan dilaksanakan secara berfasa dan dalam bentuk pakej bermula Februari depan.

Inisiatif itu katanya akan memberi manfaat kepada kita-kira 100,000 rakyat dalam kategori miskin dan miskin tegar.

“Menerusi inisiatif ini yang akan diselaraskan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), kita berharap ia dapat mengurangkan beban golongan miskin dan miskin tegar, khususnya ketika musim perayaan utama,” katanya.

Program Sentuhan Kasih Rakyat diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 Sabah oleh Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun pada November lalu.

Hajiji mempengrusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri Sabah di Menara Kinabalu.

Ia adalah inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan Sabah bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar menerusi pengagihan bantuan RM300 sebulan selama setahun membabitkan peruntukan sebanyak RM358.5 juta.

Sementara itu, Hajiji menggesa semua ketua jabatan di negeri ini memantau rapat pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini dan memastikan projek yang sudah diluluskan dipercepatkan.

“Saya meminta semua ketua jabatan, bukan hanya di bawah Jabatan Ketua Menteri tetapi juga di kementerian lain, termasuk pegawai daerah.

“Saya ingin mengingatkan semua pegawai kerajaan supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan memastikan projek untuk rakyat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Hajiji juga mengarahkan ketua jabatan supaya campur tangan bagi mengelak mana-mana projek daripada menjadi ‘sakit’ dan terbengkalai. – Info X