KOTA KINABALU: Beberapa kawasan rendah di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak awal petang tadi.
Setakat ini, antara kawasan terjejas ialah Kolombong, Jalan Tuaran Bypass, Lido, Sepanggar, Inanam dan Manggatal.
Situasi itu menyebabkan beberapa laluan di kawasan terbabit tidak dapat dilalui kenderaan kecil, selain turut menjejaskan beberapa perumahan penduduk.
Kesesakan lalu lintas juga dilaporkan berlaku di beberapa lokasi disebabkan kenderaan yang bergerak perlahan atau berhenti akibat banjir.
Tinjauan bagaimanapun mendapati situasi banjir di kawasan terbabit beransur pulih mulai jam 6 petang tadi.
Selain banjir, hujan lebat turut menyebabkan struktur tanah tembok pagar Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat di Batu 2, Jalan Tuaran menjadi lembut hingga menyebabkan tembok itu runtuh dan menghempap tepi jalan menghala ke pusat bandar raya.
Kejadian pada kira-kira jam 5.30 petang itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa kepada penduduk serta pengguna jalan raya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di negeri ini sehingga 9 malam ini.
Antara kawasan diramal mengalami cuaca itu ialah Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan bagi pedalaman, selain pantai barat, Tongod dan Beluran di Sandakan serta Kudat dan Labuan.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ends