Search

‘Palui’ hanya mainan politik, kata Suhaimi

January 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menganggap kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengenai istilah ‘palui’ pada program Jelajah Sayangi Sabah di Keningau, semalam sebagai permainan politik murahan.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, mendakwa perkara itu bertujuan menutup kelemahan dan mengalih isu rakyat yang sebenar.

“Kesimpulannya, kenyataan Hajiji lebih kepada permainan politik retorik, terutamanya untuk menjauhkan diri daripada Perikatan Nasional (PN) yang dibawanya sendiri.

“Maka atas asas itu juga UMNO Sabah mengambil pendirian untuk berhenti menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana tidak mahu sama ‘palui’ bersama Hajiji,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas ucapan Hajiji semalam berkaitan tuduhan ‘palui’ yang didakwa dilemparkan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin terhadap pemimpin dan rakyat negeri ini.

Suhaimi berkata, Hajiji adalah seorang Ketua Menteri yang mengambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab yang membina naratif Sabah di bawah GRS adalah bebas, berdikari dan lebih baik tanpa pengaruh luar.

Namun, katanya rakyat Sabah berhak bertanya adakah tindakan itu benar-benar untuk rakyat atau sekadar usaha mengekalkan kuasa sekali lagi.

Katanya, beliau mengambil maklum kenyataan ‘palui’ di antara Hamzah dan Hajiji yang meminta Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu tidak datang ke Sabah membawa budaya politik dari Semenanjung.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan kenyataan Hajiji yang disifatkannya tidak menghiraukan sejarah kemasukan PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah.

“Satu soalan saya kepada Hajiji, siapakah yang membuka pintu dan menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Perikatan Nasional ke Sabah?

“Sejarah tidak lupa kerana Hajiji orang yang bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam membawa dan memperkuatkan pengaruh Perikatan Nasional ke Sabah.

“Maka, menjadi ironi apabila Hajiji kini menyelar Hamzah dan Perikatan Nasional,” katanya

Suhaimi berkata, perkara itu membuktikan Hajiji dan GRS bersikap oportunistik dan hanya mengambil pendirian berkenaan apabila Hamzah dan PN tidak lagi relevan dan tidak menguntungkan politik mereka.

“Dan istilah ‘palui’ yang digunakan Hamzah adalah ditujukan hanya kepada Hajiji kerana sehingga hari ini belum menyelesaikan isu infrastruktur malah semakin teruk. Ia langsung tidak melibatkan pemimpin dan rakyat Sabah yang lain,” katanya. – Info X