KOTA KINABALU: Selepas menganjurkan Himpunan Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember lalu, Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan pula Himpunan Rakyat Benci Rasuah di SOGO, Kuala Lumpur, esok.
Menerusi satu kenyataan, hari ini, kumpulan berkenaan mengajak rakyat Sabah yang ada di Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan berkenaan yang bermula pada jam 2.30 petang dari SOGO ke Dataran Merdeka.
Kumpulan itu menganggap gerakan dilakukan mereka adalah simbol kemarahan terhadap hipokrasi Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpuluh tahun bercakap mengenai soal membasmi rasuah, namun budaya rasuah semakin berleluasa.
“Ironinya budaya rasuah semakin berleluasa, bahkan koruptor menerima layanan mulia dan kedudukan tinggi di Malaysia. Saban hari, berita terkait rasuah menjadi hidangan menjijikkan bagi rakyat marhaen.
“Skandal rasuah tujuh ADUN GRS di Sabah, kes rasuah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, kes rasuah pemimpin UMNO, lantikan kontroversi Koruptor No 1 Sabah Musa Aman dan ‘house arrest’ buat Koruptor No 1 Malaysia Najib Razak,” kata kumpulan berkenaan.
Pada 31 Disember lalu, kira-kira 50 mahasiswa UMS menyertai Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah yang antara lain menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes rasuah secara telus, membantah pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dan mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan. – Info X