Search

Isu ‘palui’ belum selesai, Fairuz bidas pemimpin Bersatu Sabah

January 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Panggilan ‘palui’ terus menjadi bahan politik di antara pemimpin kerajaan dan pembangkang selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menempelak Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa menganggap pemimpin dan rakyat Sabah palui.

Terbaharu, Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan membidas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Muhammad Affan Jumahat berikutan kenyataannya yang menuduh Hajiji menunggang isu ‘palui’.

Fairuz berkata pemimpin muda itu tidak wajar menuduh Ketua Menteri sedemikian, sebaliknya menasihatinya memberi tumpuan terhadap usaha mengatur strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) untuk parti pimpinannya.

“Assalamualaikum saudara, semoga anda baik-baik dan tenang di sana, boleh fokus atur strategi menempuh PRN mulai sekarang jika saudara mahu. Tapi, tidak perlulah jadi ‘palui’ sampai menampakkan diri sendiri macam tidak habis sekolah.

“Baru setahun jagung berpolitik, kita sama-sama masih muda dan perlu banyak belajar, kita petik pesanan pemimpin senior saya baru-baru ini, yang mana Datuk Seri Masidi Manjun berpesan, kita berpolitik untuk pilihan raya ini kita ‘open’, ini bukan pertandingan mahu bertumbuk, lebih kurang beginilah pesanan beliau.

“Jadi saya rasa wajar saudara Affan, seorang anak muda yang baru berjinak dengan bidang politik dan mahu jadi pemimpin, tolonglah tonjolkan intelektual sikit dalam percakapan dan buka mata dulu sebelum cakap orang lain yang kering idea dan tidak reti mentadbir negeri, ok jelas saudara?,” pesan beliau kepada Muhammad Affan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu mengulas kenyataan Muhammad Affan yang mendakwa Ketua Menteri menunggang isu ‘palui’ demi untuk mengalih perhatian rakyat Sabah terhadap kegagalan pimpinan Kerajaan Negeri.

Fairuz berkata tidak salah untuk berkongsi kenyataan atau pandangan, tapi biarlah perkongsian itu ada hala tuju dan motif yang positif, bukan main hentam atau serbu tanpa ‘helmet’.

Katanya, isu yang sering dikaitkan dengan tuduhan tidak berasas kegagalan kerajaan iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya di seluruh Sabah tidak pernah sama sekali dipinggirkan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Masalah sedia ada itu masalah ‘diwarisi’ dan mustahil dapat diselesaikan sekeip mata. Pelaksanaannya memerlukan masa dan pelbagai proses.

“Ringkasnya saya ingin nyatakan bahawa kita di barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah, tidak pernah mainkan isu ‘palui’ apatah lagi dengan tujuan untuk menutup kelemahan diri, dan lebih tidak logik lagi mengheret rakyat Sabah, seperti bangkai gajah tidak akan mampu ditutup dengan daun nyiru,” katanya.

Mengulas lanjut, Fairuz yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, berkata Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH-Plus) yang diterajui Hajiji sibuk menyusun atur, melaksana, menyampai dan merealisasikan usaha membela rakyat Sabah.

Jelasnya, fokus utama Kerajaan Negeri khasnya Hajiji pada masa ini adalah untuk memberikan semua yang termampu kepada Sabah dan tiada masa untuk memandang isu remeh berbaur sifat dengki serta publisiti murahan daripada mana-mana pihak.

“Kita tengok dan nilai sendiri macam mana Ketua Menteri kita bergerak dan bekerja sejak awal mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah dan tidak dinafikan ada cabaran serta dugaannya.

“Tapi itu adalah lumrah kerana untuk berdiri sebagai seorang pemimpin, lebih-lebih lagi sebagai ketua yang mengemudi sebuah bahtera kepimpinan yang dibarisi ramai wakil rakyat dengan pelbagai ragam, tidak mudah.

“Jadi jika ada pihak yang cuba memainkan sentimen busuk hati menghentam beliau (Hajiji), sedangkan pihak mereka sendiri lebih teruk dan terkutuk, ini pesanan saya ikhlas dari hati, sudahlah, jangan buang masa anda, kami tiada masa layan publisiti murahan anda,” katanya. – Info X