Search

Beaufort mula dilanda banjir, 85 mangsa dipindahkan

January 27, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Seramai 85 mangsa banjir daripada 25 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), di daerah ini, setakat jam 7 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, ia susulan kawasan perumahan mereka di Kampung Suasa, di sini, dinaiki air sejak pagi tadi.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung bencana banjir pada jam 9.55 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi terus memindahkan semua mangsa terlibat dari kawasan banjir ke PPS di Dewan Selagon, di sini.

“Mangsa yang dipindahkan melibatkan 16 lelaki dan 25 wanita dewasa, 40 kanak-kanak dan empat bayi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa dalam keadaan selamat dan pasukan operasi terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Operasi pemindahan dijalankan oleh pasukan bomba dan dibantu agensi penyelamat lain dengan bantuan bot orang kampung dan lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selepas dipastikan tiada lagi mangsa terperangkap di dalam kawasan banjir, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.13 petang,” katanya. – Info X