KOTA KINABALU: Sabah Electricity mengerahkan pasukan teknikal bagi memantau dan bersiap sedia 24 jam bagi membaiki sebarang kerosakan elektrik akibat banjir di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Operasinya, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, berkata penyediaan set janakuasa bergerak juga akan dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik jika ada keperluan.
“Berikutan keadaan banjir serta hujan lebat berterusan di beberapa daerah di Sabah sejak Jumaat, Sabah Electricity akan terus memantau dengan rapi bekalan elektrik di kawasan kawasan yang terjejas banjir.
“Persiapan rapi sudah dilaksanakan dengan mengerahkan pasukan teknikal bersiap sedia 24 jam untuk membaiki sebarang kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Setakat ini, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu dilaporkan menyebabkan banjir di Telupid, Beluran, Kota Belud, Kota Marudu, Ranau dan Lahad Datu.
Mohd Yusmanizam berkata, atas dasar keselamatan, bekalan di pencawang elektrik yang ditenggelami banjir terpaksa dimatikan dan kerja-kerja pembaikan akan dibuat sejurus selepas paras air surut dan keadaan selamat.
“Buat masa ini, keselamatan semua rakyat Sabah yang terjejas banjir adalah keutamaan kami dan kita juga akan pastikan pemulihan bekalan dapat disegerakan apabila keadaan benar-benar selamat,” katanya.
Beliau berkata, Sabah Electricity juga membuka bilik gerakan di semua daerah yang terjejas banjir untuk memantau keadaan dan bertindak segera jika ada bahaya berkaitan keselamatan elektrik.
“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi Sabah electricity di talian 15444, 088-515000 atau Whatsapp 019- 852 5427,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.
“Jangan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik,” katanya. – Info X