KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki wanita maut dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan susur masuk ke Taman Kingfisher, Jalan UMS, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia lingkungan 50-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat mengatakan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva melanggar seorang pejalan kaki, jam 8.05 pagi.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia lingkungan 60-an datang dari arah Alam Mesra menuju ke Kampung Bangka-Bangka, Likas.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pejalan kaki wanita yang berjalan di bahu jalan sebelah kanan dengan secara tiba-tiba melintas jalan tanpa memperhatikan kenderaan yang bergerak dari arah laluan lurus.
“Lalu dilanggar oleh pemandu Perodua Viva yang tidak sempat untuk mengelak disebabkan jarak terlalu dekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu pejalan kaki tercampak ke tepi jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
“Selain itu juga, bagi pejalan kaki dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas jalan, jika selamat barulah melintas jalan,” katanya. – Info X