Search

Mangsa banjir meningkat, 5,725 dipindah ke PPS setakat tengah hari ini

January 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah di negeri ini meningkat kepada 5,725 orang setakat jam 12 tengah hari tadi berbanding 5,391 pagi tadi.

Jumlah itu membabitkan sebanyak 1,939 keluarga yang kini berada di 39 PPS di Kota Marudu, Pitas, Paitan, Beluran, Telupid, Tongod, Sandakan, Lahad Datu, Beaufort dan Kota Belud.

Berdasarkan laporan Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kota Marudu kekal merekodkan mangsa tertinggi seramai 2,944 orang daripada 1,095 keluarga di 10 PPS.

Ia diikuti daerah Pitas dengan seramai 768 mangsa daripada 261 keluarga di lima PPS, Lahad Datu (443 mangsa, 121 keluarga, tiga PPS), Telupid (507 mangsa, 134 keluarga, lima PPS) dan Beluran (196 mangsa, 61 keluarga, tiga PPS).

Anggota APM memantau situasi banjir dan memindahkan penduduk terjejas.

Selebihnya di Kota Belud (308 mangsa, 89 keluarga, empat PPS), Sandakan (118 mangsa, 28 keluarga, satu PPS), Beaufort (107 mangsa, 29 keluarga, satu PPS), Tongod (54 mangsa, 13 keluarga, satu PPS) dan Paitan (280 mangsa, 99 keluarga, empat PPS).

Bagaimanapun, PPS di Sandakan dilaporkan ditutup jam 1 tengah hari tadi dan semua 118 mangsa banjir dibenarkan pulang selepas keadaan banjir pulih. – Info X