Search

PH Sabah sokong usaha tingkatkan hasil negeri – Ewon

January 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kutipan hasil Sabah yang disasar mampu mencapai lebih RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Pengerusinya, Datuk Ewon Benedick, berkata pihaknya mengalu-alukan komitmen yang disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung perkara itu.

Katanya, beliau bersedia bekerjasama dengan pimpinan Sabah dalam usaha meningkatkan lagi kutipan hasil kerajaan Sabah.

“Saya percaya kenyataan Ketua Menteri itu adalah berasaskan pencapaian dalam dua tahun ini.

“Sememangnya hasil kerajaan Sabah telah meningkat dan PH Sabah berbangga menjadi sebahagian daripada pimpinan yang menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.

“Antaranya pemberian khas di bawah Perkara 112D di mana kita telah meningkatkan interim pembayaran daripada RM306 juta kepada RM600 juta bermula pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Sabah yang dihoskan Ketuanya, Datuk Phoong Jin Zhe yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri.

Ewon yang juga Peresiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri baru-baru ini yang menyatakan bahawa kutipan hasil negeri boleh mencapai lebih RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun lagi, jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Mengenai majlis itu, Ewon berkata kebersamaan dalam sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat akan terus menyemarakkan lagi perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat negara ini.

“Semoga kepimpinan DAP Sabah terus cemerlang memperjuangkan pembangunan rakyat dan negara,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Jannie Lasimbang dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson Angang. – Info X