TAWAU: Tindakan seorang pemandu memecut kenderaannya ketika melalui sekatan jalan raya sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina di Jalan Merotai-Kalabakan, di sini, semalam, membongkar kegiatan curi kereta yang dilapor di Penampang.
Susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang berada di lokasi kejadian bertindak pantas dan segera memeriksa nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta jenis Nissan warna putih itu dilaporkan hilang di Penampang.
“Polis kemudiannya mengejar dan berjaya menahan suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 50-an di kawasan Merotai.
“Suspek yang bertindak agresif dan cuba melawan polis berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kenderaan yang digunakan oleh suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X