Search

Mangsa banjir mula berkurang, 4,966 masih di PPS setakat petang ini

January 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini mula berkurang berikutan penutupan beberapa PPS petang ini.

Penutupan itu selepas situasi banjir di beberapa kawasan, khususnya di Sandakan, Beaufort, Telupid dan Kota Belud dilaporkan mulai surut.

Berikutan itu, jumlah mangsa yang masih ada di PPS setakat jam 4 petang ini turun kepada 4,966 orang berbanding 5,725 orang pada tengah hari tadi.

Jumlah yang tinggal membabitkan sebanyak 1,757 keluarga di 33 PPS, berbanding 39 PPS tengah hari tadi, di Kota Marudu, Pitas, Paitan, Beluran, Telupid, Tongod, Lahad Datu, Beaufort dan Kota Belud.

Anggota APM membantu penghantaran pulang mangsa banjir di Sandakan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kota Marudu kekal merekodkan mangsa tertinggi seramai 2,944 orang daripada 1,095 keluarga di sembilan PPS.

Ia diikuti daerah Pitas dengan seramai 766 mangsa daripada 269 keluarga di lima PPS, Lahad Datu (240 mangsa, 87 keluarga, tiga PPS), Telupid (288 mangsa, 75 keluarga, empat PPS) dan Beluran (57 mangsa, 20 keluarga, satu PPS).

Selebihnya di Kota Belud (229 mangsa, 68 keluarga, tiga PPS),
Beaufort (108 mangsa, 31 keluarga, satu PPS), Tongod (54 mangsa, 13 keluarga, satu PPS) dan Paitan (280 mangsa, 99 keluarga, empat PPS).

Sebanyak enam PPS sudah ditutup setakat ini. – Info X