Search

Tongod kembali banjir, 2 PPS baharu dibuka

February 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka di Tongod, pagi ini, berikutan banjir melanda semula beberapa kampung di daerah itu selepas satu PPS ditutup semalam.

PPS terbabit ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Keramuak yang setakat jam 8 pagi ini menempat seramai 63 mangsa dan SK Kenang-Kenangan seramai 92 mangsa.

Semalam, PPS Sk Entilibon diisytiharkan tutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang berikutan situasi banjir dilaporkan pulih sepenuhnya.

Dalam insiden di Kampung Kenang-Kenangan, Tongod, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut membantu menghantar beberapa pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke sekolah berikutan banjir yang menghalang pergerakan mereka.

Anggota APM membantu menghantar pelajar terjejas banjir bagi menduduki SPM dari Kampung Kenang-Kenangan, Tongod.

Tambahan dua PPS itu menjadikan 11 PPS masih dibuka di lima daerah setakat pagi ini dengan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan seramai 1,651 orang daripada 537 keluarga.

Setakat jam 8 pagi ini, daerah Pitas kekal paling ramai mangsa masih berada di PPS, iaitu seramai 819 orang, diikuti Lahad Datu (520), Tongod (155), Beaufort (110) dan Paitan (47). – Info X

Pix – Anggota APM membantu menghantar pelajar terjejas banjir bagi menduduki SPM dari Kampung Kenang-Kenangan, Tongod.