KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga selain harga dipamer mengelirukan.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, berkata tindakan itu berikutan banyak aduan mengenai dua perkara berkenaan diterima pihaknya daripada pengguna di negeri ini.
“Kita memang sentiasa memberi penekanan perihal harga bagi memudahkan pengguna.
“Memang kita sedia maklum ada sedikit peningkatan kos dan terdapat perubahan harga di premis perniagaan termasuklah restoran.
“Oleh itu, peniaga hendaklah memaparkan harga kerana sudah menjadi hak pengguna untuk mendapat informasi yang jelas. Kemas kini harga setiap barangan atau produk agar tidak mengelirukan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan yang berlangsung di gelanggang futsal Taman Keramat, Likas, pada Sabtu.
Program itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Turut hadir Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt.
Sementara itu, Shahril Nizam turut meminta pengguna di negeri ini membuat aduan dengan jelas.
“Apabila aduan ada aduan, kami (KPDN) kena buat siasatan.
“Kemudian kita akan tengok jatuh di bawah kesalahan yang mana dan sama ada kompaun dikeluarkan atau kes dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – Info X