KOTA KINABALU: Sabah Electricity memberikan rebat berjumlah RM10.2 juta kepada 687,031 pengguna elektrik yang berdaftar di Sabah dan Labuan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata setiap pengguna menerima rebat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah deposit atau bayaran cagaran elektrik masing-masing.
Katanya, pemberian rebat itu akan dikreditkan terus ke akaun bil elektrik pengguna secara berperingkat bermula pada bulan lalu.
“Rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 2024, Peraturan (5) (1), Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
“Peraturan itu menyatakan pihak Sabah Electricity dikehendaki membuat pembayaran faedah 2.5 peratus ke atas deposit tunai pada Januari setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, wang cagaran dikira berdasarkan jumlah bil elektrik dalam tempoh dua bulan mengikut purata enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.
Katanya, penambahan wang cagaran akan dikenakan jika berlaku peningkatan bil elektrik berbanding wang cagaran sedia ada.
“Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna melalui rebat bil elektrik mereka,” katanya.
Mohd Yaakob berkata, pengguna Sabah Electricity boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai pemberian rebat itu dengan mengunjungi cawangan Sabah Electricity yang berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15444 atau 088-515000.
Selain itu katanya, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Sabah Electricity melalui telefon pintar untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan Sabah Electricity. – Info X