Search

Penunggang motosikal sanggup lari masuk hutan elak ditahan polis

February 4, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Dua lelaki sanggup meninggalkan motosikal yang ditunggang mereka dan lari ke dalam hutan apabila menyedari dihampiri sebuah kenderaan polis, dalam satu kejadian, di sini, Ahad lalu.

Aksi penunggang motosikal terbabit melarikan diri daripada ditahan polis sempat dirakam dan dimuat naik di media sosial oleh seorang pengguna Facebook.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, kejadian itu berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kota Marudu menjalankan tugas rondaan dan pemantauan sempena Op Selamat 23, di Jalan Rakit dan Jalan Sumbilingon, jam 10.30 pagi, Ahad lalu.

“Ketika menjalankan penugasan itu, pasukan operasi ternampak sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki dua lelaki.

“Ketika kenderaan BSPT cuba menghampiri, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Motosikal ditunggang suspek dirampas untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, anggota polis trafik yang bertugas tidak lagi meneruskan usaha mengejar kedua-dua lelaki terbabit kerana mereka melarikan diri ke kawasan hutan yang berdekatan di tempat kejadian.

“Tiada kemalangan yang dilaporkan dan tiada tangkapan dibuat. Motosikal yang ditinggalkan telah dirampas untuk tindakan lanjut.

“Polis sudah mengenal pasti pemilik motosikal berkenaan dan saman telah dikeluarkan dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya khususnya di daerah ini supaya tidak bertindak melarikan diri ketika pemeriksaan oleh pasukan polis kerana ia mengundang risiko kemalangan.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan gelagat seorang lelaki berlari lintang-pukang selepas dikejar anggota polis trafik. – Info X