KOTA KINABALU: Ribuan pengguna di bandar raya ini, Penampang dan Putatan, termasuk di pusat bandar raya Kota Kinabalu dijangka berdepan gangguan bekalan air pada Jumaat dan Sabtu ini berikutan kerja pembaikan segera kebocoran paip utama yang dikesan di Jalan Penampang, dekat sini.
Menerusi satu kenyataan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kebocoran paip itu memaksa penutupan separa kecemasan bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.
Katanya, sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air (LRA) Moyog di Penampang akan beroperasi pada kapasiti terhad dengan menghasilkan hanya 109 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti biasa sebanyak 187 MLD, pengurangan 41 peratus.
“Penutupan ini perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan segera dijalankan ke atas kebocoran yang dikesan pada paip berukuran 1200 milimeter (mm) di Paip T2A yang terletak di hadapan Skyline SIB, Jalan Penampang.
“Kebocoran tersebut itu dikenal pasti pada paip ‘washout’ tegak (upstand) berukuran 250 mm yang dipercayai berpunca daripada tekanan beban lateral dari ruang ‘washout’.
“Kerja-kerja pembaikan akan
merangkumi penggalian kawasan terjejas, mengenal pasti punca kebocoran dan membaiki paip yang rosak.
“Keseluruhan proses dijangka mengambil masa sekitar 12 jam untuk disiapkan,” katanya sambil menambah kerja pembaikan dijadual bermula pada jam 2 petang, Jumaat ini.
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata, kerja pembaikan itu memberi kesan kepada pengguna di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Katanya, kawasan yang terjejas termasuk pusat bandar raya Kota Kinabalu, Kepayan, Tanjung Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang dan Bukit Padang bagi kawasan ibu negeri.
Di Penampang, katanya antara kawasan terjejas ialah Kobusak, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Jalan Penampang Baru, Jalan Pintas, Donggongon, Jalan Panglima Banting, Country Heights Apartments, Jalan Bundusan dab Beverly Hills Apartments.
Bagi daerah Putatan, katanya antara kawasan yang terjejas ialah sekitar pekan Putatan, Kampung Ketiau, Petagas dan kawasan berhampiran.
“Semua kawasan terbabit dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara bekalan air,” katanya
Sementara itu, Shahelmey berkata bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang terjejas.
“Namun, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya.
“Pasukan teknikal yang dilantik akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi itu melalui pengumuman rasmi atau mengajukan pertanyaan boleh melalui talian Careline JANS atau laman web dan media sosial rasmi JANS. – Info X