KENINGAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas minuman keras dan rokok tanpa cukai bernilai RM4,453,694.24 dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini, pada kelmarin dan semalam.
Serbuan menerusi Ops (Taring Alpha 2) Kontraban dijalankan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar (Wildlife Crime Bureau) Perisikan Siasatan Khas (PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Keningau dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, serbuan pertama dilakukan
di sebuah premis di Pekan Keningau, jam 12.45 tengah hari, Isnin lalu.
“Hasil pemeriksaan di dalam premis menemui 335 katon minuman keras pelbagai jenis yang disyaki tanpa cukai kastam dirampas bersama beberapa barangan lain termasuk kenderaan, telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM330,146.10 untuk tindakan lanjut.
“Hasil serbuan itu juga menahan empat lelaki termasuk tiga warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, serbuan kedua dijalankan kira-kira jam 2 petang hari sama di sebuah gudang di kawasan perindustrian Kampung Durok Jalan Keningau-Nabawan di sini.
“Dalam serbuan itu, menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas sebanyak 3,905 katon dan 340 kotak minuman keras, kenderaan dan juga telefon bimbit dianggarkan bernilai RM1,970,684.14.
“Serbuan ketiga yang dijalankan pada jam 12.15 tengah hari semalam, merekodkan rampasan RM2,152,864 membabitkan 80 kotak rokok pelbagai jenis dan kenderaan di gudang sama,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan didapati sebagai penjaga serta pekerja yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras serta rokok tidak berkastam ini.
“Suspek yang ditahan mendakwa menjalankan penjualan minuman keras dan rokok sejak awal November tahun lalu.
“Berdasarkan kenyataan suspek, pengurus kedai hanya akan menghantar minuman keras dan bekalan rokok di dalam kawasan terbabit yang hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan barang sebelum menjualnya di sekitar Keningau,” katanya.
Tambah beliau lagi, semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Info X