Search

Hajiji iringi Tun Musa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja di KL

February 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menghadiri Mesyuarat Majlis Raja- Raja Ke-268 di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Ia adalah Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama dihadiri Musa selepas dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Terdahulu, Ketua Menteri turut menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-145 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Perdana Putra di Putrajaya, pada Selasa.

Beliau diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Malam kelmarin, Ketua Menteri turut menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. – Info X