Search

Projek stesen satelit bumi di Tuaran batal

February 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Projek pembinaan Stesen Satelit Bumi bernilai RM27.5 juta di Kampung Laya-Laya, Tuaran dibatalkan selepas program satelit RazakSAT-2 yang diluluskan pada 5 Disember 2012 ditamatkan.

Perkara itu dijelaskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menerusi jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Berdasarkan jawapan kementerian itu, projek RazakSAT-2 sudah digantikan dengan program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN).

“Memandangkan RazakSAT-2 ditamatkan, kesemua skop dan aktiviti termasuk pembangunan stesen bumi baharu juga ditamatkan.

“Selain itu, pengoperasian dua stesen penerima data satelit sedia ada di Temerloh, Pahang dan Banting, Selangor adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan negara.

“PSPJN dijangka dapat mencapai matlamat dan keperluan pengoperasian semasa dan akan datang terutamanya dalam aspek perolehan data bagi keperluan strategik negara,” kata kementerian berkenaan.

Dalam soalannya, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran meminta MOSTI menyatakan status pembinaan Stesen Satelit Bumi yang diluluskan pada 2016 dengan peruntukan RM27.5 juta di Kampung Laya-Laya.

Pembinaan Stesen Satelit Bumi di Kampung Laya-Laya, Tuaran dikenal pasti sebagai satu keperluan untuk meningkatkan kecekapan penjejakan, pengawalan dan telemetri satelit RazakSat-2.

Dalam pada itu, MOSTI juga memaklumkan bahawa kementerian itu melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sentiasa berusaha dan komited untuk membangunkan landskap ekosistem teknologi angkasa di Malaysia.

“Ia seiring dengan matlamat Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dan menguasai bidang teknologi angkasa seterusnya menyumbang pertumbuhan ekonomi, penjanaan ilmu, pembangunan lestari, kedaulatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X