Search

Warga asing samun majikan ditahan selepas lima hari dicari

February 6, 2025

Info X Reporters

BELURAN: Dua warga asing yang menjadi buruan polis selama lima hari selepas menikam dan menyamun dua beranak yang juga majikan suspek dalam kejadian di Kampung Napagang Entilibon, Tongod, di sini, Sabtu lalu, ditahan semalam.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 50 tahun itu ditahan di kawasan berhampiran Ladang Maxland, Tongod, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, bertindak dengan kejadian samun yang mencederakan dua lelaki, kira-kira 2 petang, 1 Februari lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran menjalankan siasatan dan operasi mengesan dua suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid.

“Operasi yang diketuai oleh Ketua BSJ IPD Beluran, Asisten Superintendan Polis (ASP), Henry Laiyau dimulakan 2 hingga 5 Februari dengan dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Balai Polis Tongod, Unit K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah dan Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) IPK Sabah dijalankan membabitkan pemeriksaan di kawasan perkampungan, rumah kongsi estet dan ladang.

“Pasukan serbuan turut menyalurkan beberapa maklumat kepada penduduk sekitar bagi membantu mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bertindak dengan maklumat yang disalurkan orang awam, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan.

“Kedua-dua suspek akan ditahan reman bermula Khamis ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Sehubungan itu, Hasan mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya kedua-dua suspek.

Terdahulu, dalam kejadian 1 Februari lalu, kedua-dua suspek dikatakan mencederakan dan merompak termasuk melarikan kereta milik majikannya dalam kejadian di Kampung Napagang Entilibon, Tongod, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa, 50, yang juga pemilik kebun dan anaknya, 23, parah akibat ditikam menggunakan besi dipercayai tombak buah kepala sawit.

Kedua-dua mangsa yang cedera di kepala serta badan difahamkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), Sandakan. – Info X