KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang hilang ketika mencari siput di kawasan pantai Kampung Kebagu, Manggatal di sini, malam tadi, ditemui lemas, hari ini.
Mangsa, Marwah Jamiri, 45, yang beralamat di Kampung Unggun, Manggatal ditemukan terapung oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan berhampiran Kampung Wak-Wak, Sepanggar, jam 11.27 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, mangsa ditemui di kawasan perairan sejauh 2.5 batu nautika dari jarak mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, mangsa dikatakan keluar ke kawasan pantai berkenaan bersama bapa mertua dan seorang rakannya, kira-kira jam 8 malam Rabu.
Bagaimanapun, ketika hendak pulang kira-kira jam 9.30 malam, mangsa disedari hilang dan usaha mencari yang dijalankan ahli keluarga juga gagal.
Operasi SAR segera diaktifkan di lokasi sebaik pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 6.14 pagi.
Ordine berkata, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dan terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan operasi berada dilokasi untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi SAR dijalankan dengan kaedah Water Surface oleh Pasukan Penyelam Dalam Air (PPDA) menggunakan bot penyelamat di kawasan pantai di lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya. – Info X