Search

Pejalan kaki maut dilanggar lari di Lido

February 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Bunga Raja berhampiran lampu isyarat PPK Lido, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai dirempuh kenderaan yang tidak dipastikan jenis dan nombor pendaftarannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

“Siasatan mendapati, pejalan kaki terbabit dipercayai cuba melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan berdasarkan kedudukan mayat yang berada di tengah-tengah lorong jalan raya akibat dilanggar oleh kenderaan nombor pendaftaran dan jenis yang belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengumpul bukti dan keterangan yang relevan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan nombor pendaftaran dan jenis yang belum dikenal pasti.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian ataupun mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil bagi menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 bagi membantu siasatan.

“Orang ramai turut dinasihatkan juga supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.

“Selain itu juga, bagi pejalan kaki pula dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas jalan, jika selamat barulah melintas jalan,” katanya. – Info X