Search

Tambunan diisytihar banjir, situasi di Beaufort bertambah buruk

February 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tambunan menjadi daerah terbaharu diisytiharkan kawasan bencana banjir, manakala situasi banjir di Beaufort dilapor bertambah buruk.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, berkata setakat ini seramai 13 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan di PPS Dewan Masyarakat Tambunan, manakala 232 mangsa di Beaufort.

Ia menjadikan empat daerah diisytihar kawasan bencana banjir di Sabah setakat ini, termasuk Keningau dan Kinabatangan dengan jumlah mangsa meningkat kepada 629 orang setakat tengah hari tadi berbanding 608 orang pagi tadi.

“Di Keningau kekal seramai 132 mangsa berada di dua PPS setakat tengah hari ini, manakala di Kinabatangan jumlah mangsa berkurang seorang kepada 252 orang setakat ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JPBN Sabah berkata, jumlah penduduk dipindahkan di Beaufort meningkat kepada 232 mangsa tengah hari tadi, berbanding 223 orang pagi tadi.

Daerah itu diisytiharkan semula sebagai kawasan bencana hari ini berikutan situasi banjir yang semakin buruk sejak semalam.

Banjir di daerah itu yang setakat ini menjejaskan 25 kampung adalah yang kedua selepas banjir gelombang pertama yang bermula pada 27 Januari lalu dan pulih pada 2 Februari.

Jurucakap JPBN Sabah berkata, banjir di Beaufort berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman, khususnya di Keningau, Tambunan, Tenom, Sook dan Nabawan, selain Sipitang yang menyebabkan paras air Sungai Padas di Beaufort meningkat.

Katanya, daerah terbabit dilaporkan masih berdepan cuaca lembab hari ini, manakala cerah di Beaufort, namun paras air Sungai Padas di daerah itu meningkat hingga melebihi paras bahaya.

“Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort membuat pemantauan di kampung yang dinaiki air, antaranya Kampung Batu 60, Binunuk, Balibata, Bakalau, Bingkul, Gumarit, Lago, Suasa, Kukup, Kangsa dan Berumbai.

“Kampung terbabit antara yang paling terjejas dengan paras banjir antara 0.1 meter hingga 0.83 meter menyebabkan beberapa jalan ke kampung terbabit tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan,” katanya. – Info X