Search

989 mangsa banjir dipindah ke PPS, Beaufort paling terjejas

February 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus bertambah, khususnya di daerah Beaufort berikutan situasi banjir di daerah itu yang dilaporkan semakin naik.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 989 daripada 305 keluarga kini ditempatkan di enam PPS di Beaufort, Membakut, Kinabatangan dan Tambunan setakat jam 8 pagi ini.

Membakut adalah daerah terbaharu dilanda banjir dengan seramai 160 mangsa daripada 53 keluarga dipindahkan ke PPS sejak semalam, manakala dua PPS di Keningau ditutup semalam selepas banjir pulih sepenuhnya.

Sementara itu, daerah Beaufort mencatat paling ramai mangsa dipindahkan setakat ini dengan seramai 538 orang daripada 177 keluarga di dua PPS.

Jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS di Kinabatangan pula kekal seramai 276 mangsa daripada 70 keluarga, manakala di Tambunan, jumlah mangsa banjir juga kekal seramai 13 orang daripada empat keluarga. – Info X