PAPAR: Sebuah Pusat Kecerdasan Buatan (AI) akan diwujudkan di Sabah sebagai antara inisiatif ke arah menyokong ekosistem pembangunan digital di negeri ini.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata usaha itu adalah sebahagian daripada langkah strategik menuju transformasi teknologi dan ekonomi digital.
Beliau berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga akan terlibat dalam usaha melaksanakan program berkenaan bagi memanfaatkan kepakaran yang dimiliki UMS dalam bidang AI.
“Kerjasama dengan UMS ini diharapkan mampu membantu usaha kita dalam membuka pusat AI di Sabah ini dan seterusnya memperkasa bidang berkenaan.
“Perkara ini juga akan dibawa ke Kabinet negeri untuk diperkenankan,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penerangan Gagasan Rakyat Zon 5 dan Zon 6, di Beringgis Resort, di sini, semalam.
Hadir sama Bendahari Gagasan Rakyat, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Isnin Aliasnih.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata pengwujudan pusat AI di negeri ini juga penting dalam menyokong usaha kerajaan Pusat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data neutral.
Tambah beliau, penggunaan AI kini menjadi satu perkara yang tidak lagi boleh dielakkan dalam urusan harian terutama bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
“Penggunaan AI adalah satu anjakan perubahan ke arah kualiti tinggi, produktif dan mampu melaksanakan tugasan lebih sukar serta berimpak tinggi.
“Semua ini juga mampu memperkasakan lagi pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan rakyat kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menggesa ketua-ketua penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat akar umbi supaya peka dengan isu semasa terutama melibatkan fitnah dan dakyah yang disebarkan melalui media sosial.
Katanya, mereka juga perlu cepat bertindak balas terhadap dakyah tersebut bagi mengelak daripada maklumat salah yang akhirnya menjejaskan kredibiliti, imej parti dan kepimpinan GRS.
“Jangan kita membiarkan isu-isu yang ditularkan terutama di media sosial begitu sahaja apa lagi berita yang berunsurkan fitnah dan provokasi, mengaitkan pemimpin dan parti tanpa fakta sebenar. Jangan jadikan kedai kopi sebagai tempat menyebar berita tidak betul.
“Jika kita (penerangan) tidak bertindak balas, berdiam diri maka seolah-olah mengiyakan dan ini akan menimbulkan persepsi negatif serta salah faham kepada umum yang akhirnya menjejaskan imej serta kekuatan parti,” katanya. – Info X