KUDAT: Dua bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana melakukan aktiviti menarik pukat tunda kurang tiga batu nautika dari daratan, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, penahanan terhadap kedua-dua bot terbabit adalah hasil daripada maklumat yang diterima daripada SWASLA Sabah awal pagi tadi.
Katanya, aset ronda Zon maritim Kudat segera diatur gerak ke lokasi sebaik menerima laporan berkenaan.
“Sebuah bot pukat tunda dikesan di kedudukan sekitar 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Tambuluran, manakala sebuah bot pukat tunda dikesan di lokasi sekitar 0.88 batu nautika barat laut Tanjung Bangau.
“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua bot terbabit mendapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menarik pukat tunda kurang tiga batu nautika daripada daratan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelas beliau lagi, seramai 10 individu yang mengendalikan kedua bot berkenaan turut diperiksa terdiri daripada dua warga tempatan merupakan tekong, manakala lapan lagi warga Indonesia berusia lingkungan 27 hingga 56 tahun.
“Semua yang diperiksa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Bot bersama kru seterusnya ditahan dan diiring ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan iaitu menarik pukat tunda dibawah tiga batu nautika daripada daratan berhampiran. – Info X