Search

Polis Sabah kekalkan prestasi cemerlang tahun lalu

February 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu dengan mengekalkan kedudukan tiga teratas bagi penyelesaian kes jenayah di Malaysia.

Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Kontinjen Sabah juga berjaya melebihi capaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan di beberapa jabatan yang ada dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah mencatatkan 4,269 kes bagi statistik jenayah indeks tahun lalu berbanding 4,124 bagi 2023, peningkatan ini disebabkan kerja siasatan yang dijalankan terhadap semua laporan polis diterima.

“Daripada semua kes yang diterima, Kontinjen Sabah berjaya menyelesaikan 81.94 peratus iaitu 3498 kes dan angka ini menunjukkan penyelesaian kes yang tinggi.

“Pada masa sama, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial juga berjaya melebihi capaian KPI sebanyak 35 peratus dari segi pertuduhan dengan pelaksanaan 39.88 peratus daripada keseluruhan 2,733 kertas siasatan yang dibuka,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pertama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh (kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Pertama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian cemerlang itu, Jauteh berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah menjadi kontinjen terbaik di Malaysia dari segi pencapaian penyelesaian kertas siasatan trafik iaitu 97.94 peratus kes selesai berbanding 90 peratus KPI ditetapkan.

“Begitu juga dengan KPI pertuduhan kes yang juga pencapaian terbaik di Malaysia dengan pencapaian 97.94 peratus berbanding kpi ditetapkan sebanyak 85 peratus manakala Pegawai JSPT Sabah Asisten Superitendan Jenuil Yasap, juga dianugerahkan pegawai terbaik di Malaysia dalam pencapaian sebagai Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik.

“JSPT Sabah juga berjaya melebihi lima peratus bersamaan 32.99 peratus KPI ditetapkan bagi kadar penyelesaian saman membabitkan 201,093 keping saman pelbagai kesalahan yang dikeluarkan pada 2024,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula menunjukkan peningkatan jumlah kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan mencatatkan sebanyak 16,831 kes pada 2024 berbanding 14,713 kes pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 2,126 kes bersamaan 14.5 peratus.

“Tangkapan sepanjang 2024 juga meningkat kepada 17,486 berbanding 15,509 pada 2023 iaitu peningkatan tangkapan seramai 1,980 orang bersamaan 12.8 peratus.

“Pertuduhan bagi kes bekalan dan pemilikan dan Akta Racun adalah sebanyak 5157 kes berbanding 5525 kes yang dibuka iaitu pencapaian 93.34 peratus. JSJN juga merekodkan nilai rampasan dadah sebanyak RM6.98 juta pada 2024 berbanding RM6.96 pada 2023 dengan nilai perbezaan hampir RM22 ribu,” katanya.

Jauteh mengucapkan tahniah kepada pasukannya dan mengharapkan supaya prestasi cemerlang ini diteruskan dan lebih memberangsangkan pada tahun ini.

“Sepanjang 2024 Kontinjen Sabah berjaya mencuba yang terbaik dan hasilkan yang terbaik untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan ini adalah satu cabaran pada 2025 untuk mengekalkan atau meningkatkan prestasi ini.

“Tahun 2025 adalah satu cabaran tapi InsyaAllah perkara ini boleh dicapai dengan setiap lapisan dalam warga PDRM untuk memberikan komitmen dan sumbangan serta tumpuan yang terbaik kepada penugasan masing-masing, saya yakin bahawa kita masih kita akan mampu meningkatkan prestasi yang berjaya kita tunjukkan pada 2024.

“Saya menyeru kepada seluruh Kontinjen Sabah melaksanakan tanggungjawab sebagaimana yang sepatutnya dan setiap pegawai serta anggota dapat memperbaiki kelemahan yang ada dalam memastikan Kontinjen terus cemerlang dalam semua aspek,” katanya. – Info X