Search

PRN17: Tiada persefahaman Warisan-BN, kata Darell

February 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan menafikan wujud sebarang persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking, berkata Warisan tidak membuat apa-apa persefahaman dengan BN atau mana-mana parti politik berhubung agihan kerusi pada pilihan raya itu nanti.

Katanya, ramai yang bertanya mengenai perkara itu selepas satu laporan yang dimuat naik sebuah portal mendakwa Warisan dan BN mencapai persefahaman agar tidak bertembung di kerusi yang ditandingi mereka pada PRN17.

“Saya telah menerima banyak panggilan serta pesanan Whatsapp dari wartawan, ahli parti Warisan dan orang awam yang bertanyakan saya adakah ianya benar bahawa satu persefahaman pilihan raya antara Warisan dan BN Sabah telah dibuat sepertimana yang dikongsikan oleh sebuah page di Facebook semalam (13 Februari).

“Untuk pengetahuan semua, saya mengesahkan di sini bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat antara Warisan dan BN Sabah (termasuklah dengan mana-mana parti politik yang lain) yang membabitkan kerusi-kerusi DUN sepertimana yang dikatakan oleh page tersebut.

“Perkara ini (termasuklah juga pendapat yang dikemukakan oleh pelbagai pihak supaya Warisan membuat kerjasama pilihan raya) juga tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi Warisan mahupun Biro Politik Warisan untuk dibincangkan.

“Oleh yang demikian, hantaran tersebut tidak lebih daripada andaian dan spekulasi yang selalunya kita akan nampak menjelang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Darell yang juga ADUN Moyog berkata, berdasarkan perkembangan politik terkini, beliau berpendapat Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkemungkinan besar mengharapkan kerjasama dengan BN Sabah.

“Ia dapat dilihat ketika Persidangan Agung Tahunan PBS ke-39 pada 29 Oktober 2024 di KDCA, beliau (Hajiji) sendiri mengatakan bahawa GRS terbuka berbincang kerjasama dengan BN Sabah.

“Merujuk kepada kesediaan PH Sabah untuk terus bersama dengan GRS, maka kita tidak perlu hairan mengapa Hajiji mahu BN Sabah bekerjasama dengan gabungan tersebut.

“Ini semua hanyalah untuk memastikan GRS terus memerintah negeri ini,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal mendedahkan BN dan UMNO Sabah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Warisan bagi mencapai kompromi mengenai kerusi DUN tertentu pada PRN17 nanti.

Portal itu mendakwa kedua-dua pihak berkemungkinan tidak berlawan antara satu sama lain di 50 daripada 73 kerusi DUN Sabah pada pilihan raya itu. – Info X