KOTA KINABALU : Tanggungjawab menjaga ketenteraman awam bukan halangan bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kerja sosial untuk manfaat masyarakat.
Atas kepentingan itu, PDRM dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menjayakan program gotong royong iaitu ‘Program Khidmat Kemasyarakatan Untuk Bumi Hijau’ di Pantai Teluk Likas.

Lebih 200 pegawai dan anggota serta NGO menyertai program gotong royong berkenaan yang dirasmikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim.
Azmi ketika ditemui berkata, program berbentuk goyong royong membersihkan pantai ini turut disertai tujuh NGO selain pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Saya memilih Pantai Teluk Likas adalah disebabkan pantai ini menjadi pilihan utama warga bandaraya untuk riadah di kawasan ini.
“Pantai kita cantik, tetapi dicemari dengan sampah sarap. Hari ini lebih 200 orang turut serta yang mana 100 daripadanya adalah pegawai dan anggota JSJ Sabah,” katanya.

Menurutnya, lebih banyak program bersama masyarakat bakal dianjurkan JSJ Sabah.
Sementara itu, secara keseluruhannya, program ini berjaya mengutip 511 kilogram sampah sarap di sekitar kawasan dan pesisir pantai Teluk Likas. – Info X
