Search

Garis panduan dicadangkan untuk orang Islam tidak relevan di Sabah

February 16, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Garis panduan yang dicadangkan kepada orang Islam bagi menghadiri acara anjuran masyarakat bukan Islam di negara ini tidak relevan untuk Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata masyarakat pelbagai etnik dan agama di Sabah saling menghormati antara satu sama lain.

“Saya ingin menyatakan bahawa garis panduan yang dicadangkan itu tidak relevan untuk kita. Di sini, kita saling menghormati.

“Ambil saya sebagai contoh, adalah mustahil untuk saya tidak menghadiri sambutan masyarakat pelbagai agama dan kaum di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Festival Angpow anjuran 10 persatuan dan NGO Cina di Dewan Sri Sulaman, di sini, malam tadi.

Hajiji berkata, ketika mentuanya meninggal dunia, beliau hadir memberikan penghormatan terakhir di gereja St Philip, Tamparuli.

“Itu tidak menjejaskan kepercayaan saya dan tidak menjadikan saya kurang Muslim. Ini semua berkaitan dengan akidah kita,” katanya.

Dalam hal itu, Hajiji menasihati rakyat agar tidak terpengaruh dengan keadaan di tempat lain.

“Di Sabah, kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Ramai di antara kita mempunyai saudara mara yang berlainan agama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Cina kerana terus menjadi rakan dalam membangunkan ekonomi negeri.

“Bukan itu saja, masyarakat Cina juga menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan kita berterima kasih kepada mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita,” katanya.

Hajiji berkata, sepanjang tempoh beliau menjadi Ketua Menteri, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah besar dana untuk pembangunan sekolah Cina sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pendidikan secara keseluruhan di Sabah.

Tahun lalu sahaja, katanya, Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM480 juta untuk membangunkan modal insan dan pendidikan.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Sebelum ini, jumlah biasiswa yang diberikan setiap tahun hanya RM50 juta tetapi ketika tempoh saya, kita telah meningkatkannya kepada RM128 juta setahun.

“Kita memberikan biasiswa kepada semua penerima yang layak. Tahun lalu, kita telah memberikan sejumlah RM128 juta kepada 12,000 pelajar,” katanya.

Hajiji berkata, daripada 12,000 pelajar itu, 5,000 adalah Bumiputera Islam, 5,000 Bumiputera bukan Islam dan 2,000 Cina.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sekarang juga mencapai banyak kejayaan termasuk menandatangani Perjanjian Kolaboratif Komersial (CCA) dengan Petronas yang membuka banyak peluang untuk Sabah dalam industri minyak dan gas.

Selain itu, katanya, inisiatif mesra pelaburan Sabah juga telah menarik banyak pelaburan ke negeri ini.

Beliau berharap masyarakat Cina akan terus menyokong Kerajaan Negeri sekarang untuk memastikan semua rancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya. – Info X