TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan untuk menawan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tawau dan Kalabakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata rakyat di kedua-dua Parlimen itu perlu menyokong gabungan berkenaan demi memastikan tiada kawasan DUN yang tercicir daripada pembelaan wakil rakyatnya.
Beliau berkata, kerajaan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus pimpinannya mempunyai hala tuju yang jelas dan agenda besar bagi membangunkan Sabah, termasuk di Tawau dan Kalabakan demi kepentingan rakyat negeri ini.
“Pada PRN nanti mesti undi GRS kerana banyak pencapaian yang kita berjaya lakukan sepanjang empat tahun memerintah negeri ini berbanding kerajaan sebelum ini.

“Jadi saya minta rakyat di DUN Merotai dan kawasan DUN lain di Kalabakan serta Tawau pastikan semua DUN di sini dimenangi GRS.
“Kita ada agenda besar untuk Sabah, kita ada hala tuju, berbanding kerajaan sebelum ini yang tiada hala tuju, hanya berbohong dan buat fitnah di sana sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Anak Merotai anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Merotai, dekat sini.
Hadir sama Presiden PHRS, Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal.
Hajiji memberi jaminan GRS akan kekal membentuk kerajaan negeri selepas PRN17 nanti berikutan pencapaiannya dalam membawa perubahan di negeri ini selepas lebih empat tahun memerintah.

Sehubungan itu, beliau mahu semua kawasan DUN termasuk Merotai diwakili wakil rakyat kerajaan agar usaha membawa pembangunan di kawasan itu lebih berjalan lancar.
“Percayalah dalam PRN akan datang kerajaan GRS akan membentuk kerajaan sekali lagi. Jadi saya tidak mahu Merotai ketinggalan kali ini, Merotai mesti diwakili wakil kerajaan.
“Kita mesti menang di sini, majukan Merotai. Kita bukan bercakap kosong, kita ada hala tuju,” katanya. – Info X