TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan berhubung isu bekalan air akan dapat diselesaikan pada tahun ini setelah semua kerja penambahbaikan dilaksanakan.
“Isu air saya bagi jaminan kita dapat selesaikan pada tahun ini. Kita ada peruntukan, loji air kita akan dinaik taraf dan dibaiki.
“Begitu juga masalah paip bocor, kita akan baiki, jadi masalah air ini kita akan selesai pada tahun ini juga kerana kita ada perancangan, kita ada usaha, bukan kita cakap kosong.
“Kalau cakap kosong seperti pembangkang saya rasa itu tidak perlu kita beri perhatian. Mereka tidak boleh buat apa-apa, kita sudah beri peluang kepada mereka, tapi apa mereka buat.
“Mereka (pembangkang) umpama tin kosong, memang besar bunyinya kalau diketuk. Tapi kita empat tahun memerintah sudah banyak kita capai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Anak Merotai, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Hajiji turut mengumumkan kelulusan permohonan Tanah Perkampungan Iban, Merotai Besar dan Kampung Melati Burut untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan kelulusan Pemasangan Lampu Solar Jalan Raya Besar dari Jambatan Putih hingga ke Sungai Udin, Merotai dengan peruntukan RM1.9 juta yang akan dipasang selewat-Iewatnya pada April atau Mei 2025.
Ketua Menteri juga mengumumkan pembukaan Pekan Baharu Merotai di Kijang Point yang menempatkan 100 unit rumah dua tingkat dan 16 unit kedai yang sudah siap dibina oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) serta Perkasa Reality.
Hajiji turut mengumumkan pembinaan sebuah dewan untuk Merotai dengan peruntukan RM2 juta.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan surat tawaran tanah daripada Jabatan Tanah dan Ukur kepada 42 orang penduduk Kampung Iban, Merotai.
Terdahulu, Hajiji meluangkan masa melawat Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sri Tanjong, Datuk Haji Naim Haji Ahmat di kediamannya di Taman Ria, Tawau. – Info X