Search

100,000 rakyat miskin terima bantuan SYUKUR

February 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kira-kira 100,000 penduduk miskin di Sabah bakal menerima bantuan RM300 sebulan menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 atau SYUKUR yang akan dilancarkan di Tuaran, esok.

Program yang julung kali diperkenalkan kerajaan itu akan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, pada jam 10 pagi.

Menerusi satu kenyataan, di sini, kerajaan negeri menjelaskan setiap penerima bakal menikmati bantuan itu selama setahun iaitu sehingga 31 Disember 2025.

Penerimanya pula membabitkan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024.

“Amaun pembayaran bagi program ini akan dibayar secara berfasa dengan bayaran setiap dibuat secara ‘lump-sum’ bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900.

“Wang itu akan dikreditkan ke akaun penerima bagi mereka yang mempunyai akaun, manakala yang lainnya diagihkan secara tunai,” kata kenyataan itu.

Katanya, bayaran fasa satu bagi tempoh Januari-Mac 2025 akan diagihkan bermula Februari, manakala fasa kedua (April-Jun 2025), diagihkan bermula April.

Bagi fasa ketiga (Julai-September 2025), bayaran diagihkan bermula September depan, manakala bayaran fasa keempat (Oktober-Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.

“Antara objektif SYUKUR ialah untuk meringankan beban kewangan penerima bagi memenuhi keperluan asas mereka.

“Ia juga menyokong golongan yang memerlukan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa; mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah menerusi bantuan berterusan dan sebagai tanda prihatin serta kasih kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X