KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya menahan 58 individu dan merampas pelbagai bahan buangan sisa berjadual elektronik bernilai RM65 juta dalam operasi Op Hazard, 15 Februari lalu.
Operasi yang dijalankan secara serentak di seluruh negara dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar bagi mengesan aktiviti melanggar syarat sah permit.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 12 premis di seluruh negeri ini yang disyaki melakukan kesalahan berkenaan diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, dua premis beroperasi tanpa permit, manakala selebihnya didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan dalam permit Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah.
“Semua premis berkenaan diperiksa selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 58 individu melibatkan 37 lelaki dan tujuh wanita tempatan.
“Selain itu, kita turut menahan 11 warga Indonesia dan tiga warga Filipina,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Rani berkata, nilai anggaran bahan buangan sisa berjadual elektronik yang dirampas pula adalah sebanyak RM65.1 juta.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah mengikut Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sehubungan itu, Abdul Rani berkata, pihak polis melalui PGA akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi membanteras sebarang aktiviti yang melakukan kesalahan bagi menjaga kualiti alam sekitar di negeri ini. – Info X