KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini menerima Bantuan Bencana Banjir Sabah 2025 berjumlah RM300,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Bantuan itu diterima Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri selaku Pengerusi YKN.
Penyerahan sumbangan berkenaan diadakan di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Nancy berkata, bantuan yang diserahkan itu bertujuan untuk meringankan beban mangsa bencana di Sabah.
Katanya, ia juga bagi memastikan mereka yang terkesan mendapat sokongan yang diperlukan dalam usaha pemulihan.
Sementara itu, Hajiji bagi pihak kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YKN atas keprihatinan membantu mangsa banjir di negeri ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron. – Info X